2009/05/07

SIDANG DUN TERGANGGU




SUASANA kecoh apabila Adun Pakatan Rakyat cuba mengarah keluar Speaker DUN yang baru, Datuk R Ganesan sambil dipertahan oleh Adun BN ketika Sidang DUN Perak, semalam.
Raja Nazrin tunggu lima jam rasmi persidangan

Ganesan dilantik Speaker ganti Sivakumar mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam kecoh lebih lima jam dan terpaksa ditangguhkan dua kali sebelum majlis perasmian dapat disempurnakan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Kekecohan bermula sebaik saja Raja Nazrin selesai memeriksa kawalan kehormatan dan menuju ke Kamar Diraja, apabila bekas Speaker, V Sivakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang bergegas memasuki Dewan terlebih dulu serta menukar tempat duduk ke sebelah kanan Speaker, yang ditetapkan untuk pihak kerajaan. Mereka juga mengalihkan kertas tanda nama ke sebelah kanan serta mengoyak dan membuang tanda nama Adun Barisan Nasional (BN). Adun pembangkang, yang diketuai Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kemudian duduk di kerusi Menteri Besar dan Exco, manakala Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Exconya terpaksa duduk di tempat pembangkang. Keadaan bertambah kecoh apabila Sivakumar mengarahkan Zambry serta enam Ahli Exco negeri dan tiga Adun Bebas, keluar Dewan dengan alasan keanggotaan mereka masih digantung. Beliau turut berkeras tidak akan memulakan sidang selagi 10 Adun terbabit tidak meninggalkan Dewan tetapi tidak diendahkan Zambry dan Adun berkenaan.

Zambry kemudian berdiri dan membuat usul untuk memecat Sivakumar selaku Speaker, disokong oleh 27 Adun BN serta tiga ahli Bebas dengan cara mengangkat tangan tetapi ditolak oleh Sivakumar dengan alasan Zambry tidak boleh mengemukakan usul kerana telah digantung.
Sepanjang kekecohan itu, Raja Nazrin yang dijadual merasmikan sidang pada jam 10 pagi, terpaksa menunggu dalam Kamar Diraja. Persidangan semalam adalah yang pertama sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Februari lalu dan Zambry dilantik sebagai Menteri Besar.

RAJA Dr Nazrin Shah menitahkan sesuatu kepada Nizar dan Ngeh selepas kedua-duanya dititahkan menghampiri baginda.
Kekecohan semakin tidak terkawal apabila ahli Dewan saling mencemuh antara satu sama lain. Zambry kemudian mengulangi membuat usul yang sama dengan disokong oleh Adun BN dan tiga ahli Bebas. Sivakumar bagaimanapun tidak berganjak dan mengarahkan Bentara Dewan membawa keluar 10 Adun itu, tetapi Zambry menegaskan Sivakumar telah dipecat. Kira-kira jam 10.48 pagi, Timbalan Speaker, Hee Yit Foong (Bebas-Jelapang) mengambilalih sidang daripada tempat duduk Adun, manakala Sivakumar terus duduk di kerusi Speaker. Zambry kemudian mengemukakan usul melantik bekas Adun Sungkai, Datuk R Ganesan sebagai Speaker yang baru dan disokong oleh semua Adun BN serta ahli Bebas.

ADUN Pasir Bedamar, Seah Leong Peng (dua dari kanan) menghalang Setiausaha Dewan Negeri Perak, Abdullah Antong Sabri (kanan) daripada menjalankan tugas ketika persidangan.
Selepas usul pelantikan Speaker baru diluluskan, Hee menjemput Ganesan memasuki Dewan dan dipakaikan jubah Speaker oleh Dr Zambry. Ganesan kemudian mengangkat sumpah jawatan di bahagian tempat duduk ahli Dewan dan mengambilalih tugas daripada Hee. Ketika itu, Adun Pakatan Rakyat hanya memerhati sambil membuat bising tetapi Ganesan meneruskan sidang tanpa menghiraukan gangguan pembangkang. Beliau menerima empat usul pelantikan ahli jawatankuasa yang baru, iaitu Jawatankuasa Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) serta usul tidak mengiktiraf 'Sidang DUN Bawah Pokok' pada 3 Mac lalu. Semua usul dibentang oleh Datuk Hamidah Osman (BN-Sungai Rapat) dan disokong oleh Datuk Shaarani Mohammad (BN-Kota Tampan) serta diluluskan tanpa bahas oleh Adun BN dan Bebas dengan cara mengangkat tangan. Ketika Ganesan mengumumkan usul pertama diluluskan, Adun Pakatan Rakyat dan Sivakumar menjerit mengatakan 'haram'. Keadaan tenang seketika apabila Ganesan mengumumkan penangguhan sidang selama sejam bermula 11.15 pagi. Selepas sesi bermula pada jam 12.20 tengah hari, Sivakumar yang tidak bergerak dari tempat duduk Speaker, mengarahkan Ganesan keluar dari Dewan hingga mencetuskan semula pertikaman lidah antara Adun BN dan Pakatan Rakyat. Beberapa Adun pembangkang turut mengelilingi Ganesan bagi mendesaknya keluar Dewan dan berlaku tolak-menolak sehingga memaksa Speaker baru itu mengumumkan sidang ditangguhkan selama sejam lagi bermula jam 1 petang. Semua Adun mematuhi arahan itu dan keluar makan tengah hari, tetapi Sivakumar masih terus tidak bergerak dari kerusi Speaker. Apabila persidangan disambung semula kira-kira jam 2 petang, kekecohan sekali lagi tercetus apabila beberapa Adun pembangkang cuba menarik keluar Ganesan secara kasar. Berikutan itu, polis terpaksa campur tangan pada jam 2.20 petang kerana keadaan menjadi tidak terkawal dan bertambah agresif dengan ada insiden tolak-menolak dan pergaduhan di kalangan Adun.
Bentara juga dikasari sebanyak tiga kali oleh Adun pembangkang sehingga cedera di kaki ketika beliau cuba mengosongkan kerusi Speaker yang masih diduduki Sivakumar. Kekecohan itu berakhir pada jam 2.40 petang apabila Sivakumar diiring keluar oleh anggota polis sebelum Raja Nazrin yang menunggu lebih lima jam dalam Kamar Diraja, memasuki Dewan bagi merasmikan sidang itu. Baginda menyampaikan titah ucapan perasmian kira-kira setengah jam bermula 3.15 petang dan sebelum berangkat pulang, Raja Nazrin berkenan berbual mesra dan bersalaman dengan semua Adun.

BAPA SEBAGAI WALI NIKAH





Bapa sebagai ketua keluarga adalah juga berperanan sebagai wali pernikahan bagi seseorang anak perempuan. Sebagai wali, pemahamannya sebagai pemegang amanah amatlah penting disamping memahami dengan jelas syarat-syarat wali pada menjalankan aqad nikah.

Seminar seumpama ini diharap dapat membuka minda dan memberikan kefahaman kepada kaum bapa di daerah Tampin. Tujuan seminar adalah memberikan keahaman kepada kaum bapa mengenai tanggungjawab wali sebagai pemegang amanah, melahirkan bakal-bakal wali yang dapat memainkan peranannya dengan baik berkesan.

Perkahwinan merupakan satu ibadah, ianya mempunyai rukun dann syarat yang tersendiri. Dalam pernikahan rukun yang penting adalah wali nikah, persetujuan wali amat penting dalam pernikahan, tanpa wali tidak sah perkahwinan sesuatu pasangan.

Antara jenis jenis wali nikah terdiri daripada wali mujbir, wali aqrab, wali abad, wali hakim juga wali engkar/enggan. Syarat-syarat wali pula adalah islam, berakal, baligh, merdeka, lelaki, berfikiran waras, bukan dalam ihram, adil dan bukan paksaan. Panel penceramah juga memberikan ingatan kepada peserta yang akan menikahkan anak mereka yang akan bernikah jangan memberatkan pengantin dengan soal-soal remeh sewaktu akad nikah seperti mengulang-ulang akad dan sebagainya juga jangan malukan pengantian dan keluarga dengan soalan-soalan yang boleh menjatuhkan maruah pengantin dan keluarga.

Seminar sebegini akan melahirkan wali nikah yang lebih berpengetahuan dalam rukun dan syarat wali nikah. Sebaiknya bapa kepada pengantian perempuan yang lebih diberikan keutamaan untuk menikahkan anak mereka dan membacakan taklik nikah agar lebih memberikan kesedaran kepada pengantian lelaki akan tanggungjawab yang akan di pikul sebagai suami juga ketua keluarga.

Sapar Sutir salah seorang peserta seminar menjelaskan seminar sebegini amat baik dan berfaedah kepada wali nikah juga kepada golongan bapa yang mempunyai anak perempuan kerana lebih maklum tanggungjawab golongan bapa sebagai wali nikah kepada anak perempuan mereka kelak. Agar jangan berlaku bapa tidak mahu mewalikan pernikah anak perempuan mereka kerana di sebabkan masalah bukan calon pilihan keluarga dan sebagainya. Keadaan ini akan menyebabkan anak perempuan menyaman ayah mereka di mahkamah syariah kerana enggan mewalikan pernikahannya.

Seminar peranan bapa sebagai wali nikah telah membincangkan dua topic yang utama iaitu wali sebagai pemegang amanah penceramah oleh Ustaz Abdul Manas bin Md Isa, Pegawai Agama Islam Daerah Seremban. Tuan Hj Md Jusoh bin Sudin pula mengutarakan topic peranan wali serta syarat-syarat wali dalam aqad nikah beliau merupakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau . Seminar anjuran Jabatan Hal ehwal Islam Negeri Sembilan dan Pejabat Agama Islam Daerah Tampin di rasmikan oleh Ustaz Amran bin Awaludin Pegawai Agama Islam Daerah Tampin.

MASALAH PROSTAT




Sapar Sutir
( saparsutir@yahoo.com.my )




Masalah prostat adalah penyakit yang sering dihidapi oleh lelaki berumur 50 tahun ke atas. Risiko lelaki berumur 65 tahun ke atas berhadapan dengan penyakit ini dikatakan melebihi 80 peratus.



Usia abah hampir 70 tahun. Beliau hampir tidak pernah sakit. Kalau adapun hanyalah sakit-sakit biasa yang boleh sembuh dengan berehat dan minum air suam sebanyak mungkin. Alahai… abah diberi nikmat kesihatan yang terbaik.



Namun, sudah beberapa bulan beliau menderita kesukaran untuk membuang air kecil. Puas kami pujuk supaya berjumpa pakar perubatan. Beliau enggan. Sindrom “takut tahu penyakit”. Lebih baik tidak tahu, takut nanti terlebih risau. Itulah pandangan beliau. Namun jauh di sudut hati, saya fikir beliau berada di dalam zon ketakutan kerana tidak pernah sakit.



Akhirnya beliau mengakui yang tahap kesihatannya semakin menurun. Abah dimaklumkan oleh Doktor yang beliau mengidap prostat. Ia tidak pulih walaupun telah diberi rawatan awal.
Pada ketika ini, saya terkenangkan arwah Wan. Ketika di hospital Jertih [menderita kesakitan akibat komplikasi diabetes] beliau menyatakan kepada saya: Mil, Wan tak tahan sakit. Sakit sungguh. Bawalah Wan ke KL, carilah hospital berbayar yang paling mahal….



Tidak siapa yang tahu bagaimana saya kesedihan menerima permintaan daripada seorang ibu. Saya menitiskan airmata. Saya tidak mampu. Saya terasa sukar. Malah kami adik-beradik tidak pula duduk berbincang bagi memenuhi permintaan ini.



Mungkin beliau nyatakan harapan ini hanya kepada saya. Entah! Namun saya bersyukur kerana beliau melepasi tahap tersebut dan hanya meninggalkan kami setelah bertahun-tahun berlalu.



Pagi semalam, saya memujuk abah. “Abah, prostat adalah penyakit biasa untuk lelaki. Nanti


saya usahakan pakar terbaik buat abah. Kita buat pemeriksaan semula”. Abah bersetuju. Dia terasa lebih berkeyakinan.



Lalu saya hubungi Datuk Prof. Dr Amin, Timbalan Dekan Fakulti Perubatan UiTM supaya membantu saya menguruskan pemeriksaan Abah. Saya nyatakan kepada Abah: Abah, abah jangan risau. Datuk yang akan menguruskan pemeriksaan abah….



Setiap kali saya melakukan sesuatu untuk mak dan abah, saya pasti menitiskan air mata bila mengenangi arwah wan dan ayah. Mereka pergi ketika saya belum mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik buat mereka. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat dan menempatkan mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

2009/05/04

TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA




Laporan pelaksanaan PPSMI bukan penanda aras tepat


TPMKUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diarah membuat kajian semula terhadap pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) ekoran Kabinet tidak berpuas hati dengan hasil laporan Persidangan Meja Bulat PPSMI yang dibentangkan baru-baru ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet berpendapat laporan daripada beberapa persidangan meja bulat PPSMI sebelum ini bukan penanda aras yang tepat untuk menilai kewajaran pelaksanaan dasar berkenaan.


"Kita tidak boleh membuat keputusan tanpa fakta dan bukti yang kukuh untuk menyokong sesuatu dasar itu. Saya hanya akan berpuas hati apabila mendapat maklumat lengkap yang diperoleh dari semua sudut. "Persidangan meja bulat mungkin hanya membolehkan sesetengah pihak mengemukakan pandangan peribadi. Kita memerlukan pandangan menyeluruh sebelum memutuskan sama ada dasar PPSMI perlu ditambah baik atau ditukar," katanya. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini semalam. Hadir sama ialah Pengerusi Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.
Laporan Persidangan Meja Bulat PPSMI sebelum ini merumuskan tujuh cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI:

Meneruskan PPSMI seperti sedia ada;
Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda pada peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah;
Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah;
Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah;
Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah;
Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda pada Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam.


Penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah atau memansuhkan mata pelajaran Sains pada Tahun Satu hingga Tiga tetapi mengajar Sains dalam subjek lain.Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) bagaimanapun mahu kerajaan memansuhkan dasar itu kerana mendakwa pelaksanaan PPSMI selama enam tahun sejak 2003 gagal memanfaatkan pelajar, khususnya pelajar Melayu di luar bandar. Selain itu, 25 kesatuan dan persatuan yang mewakili kira-kira 350,000 guru di seluruh negara juga menolak pelaksanaan PPSMI pada peringkat sekolah rendah. Muhyiddin bagaimanapun menegaskan, sebarang keputusan berhubung pelaksanaan dasar PPSMI tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana ia membabitkan masa depan pelajar. "Saya mengalu-alukan jika ada pihak yang hendak kemukakan pandangan, hendak menyerahkan memorandum atau hendak berjumpa saya jika ia bersesuaian dengan apa yang hendak disampaikan.


"Walau apapun pandangan dan pendapat, akhirnya ia perlulah mengambil kira kepentingan bahasa kebangsaan, selain bahasa Inggeris yang menjadi bahasa penting di dunia," katanya. Muhyiddin turut menggesa sektor swasta menyokong usaha kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan. "Kita akui sektor swasta menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi dan urusan mereka, tetapi kerajaan berharap mereka turut menggunakan bahasa kebangsaan. "Kerajaan serius memartabat serta memperkembangkan bahasa kebangsaan dan berharap Bulan Bahasa yang akan kita laksanakan tidak lama lagi akan mendapat sokongan sektor swasta," katanya. Beliau berkata, pihaknya akan turut meneliti kembali Akta DBP, sekali gus menyokong usaha badan itu memartabatkan bahasa kebangsaan secara lebih berkesan dan menjadi titik mula untuk DBP bergerak dengan lebih aktif.

2009/05/03

PERLU TINDAKAN SEGERA SWM



Sinar Harian 13 Okt 2008REMBAU – Terabai, itu gambaran yang dapat dilihat di tapak permainan kanak-kanak di kawasan perumahan Taman Seri Rembau yang semakin terbiar dan rosak.Prasarana disediakan berupa dua buah buaian, jongkang jongket dan gelongsor dikatakan tidak dapat menampung kapasiti sementelah taman perumahan didiami lebih 300 keluarga.Kekurangan itu, ditambah pula dengan beberapa permainan rosak dan tidak boleh digunakan lagi yang dilihat boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, terdapat empat buaian dan hanya sebuah dapat digunakan sementara yang lain rosak.Sapar Sutir, 42, yang hampir lapan tahun menduduki kawasan perumahan ini berasa sedih melihat taman permainan yang semakin uzur dan hanya mencacatkan pemandangan sekitar.Katanya, setiap petang, taman yang hanya menyediakan permainan terhad menjadi rebutan kanak-kanak dan ada kalanya mencetuskan pergaduhan kecil.Menurutnya, perkara ini pernah diajukan kepada pihak yang bertanggungjawab, namun dipandang sepi sehingga kini tanpa apa-apa tindakan diambil sama ada membaik pulih semula atau menambah prasarana sedia ada.Jelasnya, padang permainan ini juga gagal diselenggarakan dengan baik di mana sampah sarap tidak dikutip dan dibiarkan sahaja sehingga mencacatkan pemandangan.Tambahnya, padang permainan ditumbuhi lalang ini hanya dimesin sebulan sekali bergantung kepada kepanjangan rumput.Struktur padang yang tidak rata dan berlubang menyebabkan ramai kanak-kanak tidak lagi bermain bola seperti kebiasaan.Katanya lagi, selain itu, taman permainan ini juga tidak menitikberatkan ciri-ciri yang menjamin keselamatan.“Seharusnya disediakan lapisan getah dan sebagainya bagi menggelakkan kanak-kanak terjatuh dan mengalami kecederaan lebih serius.“Sewajarnya masalah ini diberi perhatian lanjut oleh pihak bertanggungjawab dengan kadar segera agar kanak-kanak di sini dapat beriadah dengan sempurna,” katan

safaruddin bin Ahmad - Recently Updated Pages

Powered By Blogger

Majlis Rasmi

Majlis Rasmi

SELAMAT MELAYARI BLOG SAYA

sila respond dan bagi pandangan

Kenali Saya

Kenali Saya
Jom Kenal

Mengenai Saya

Foto saya
Kuala Lumpur, Malaysia
Saya berkerja di Jabatan Kerajaan. Emel saya bce492@hotmail.com

sapar's Site

Daftar Blog Saya